mutakhir

GRO terkedu 'dikunjung' polis

Oleh Iskandar Shah Mohamed

EMPAT belas pelayan pelanggan (GRO) warga asing terkedu apabila menerima ‘kunjungan’ pihak berkuasa yang menyerbu dua pusat hiburan di sekitar Klang, malam tadi.

Difahamkan, semua wanita warga Vietnam berusia 20 hingga 40-an itu memperoleh tips serendah RM50 bagi menemani seorang pelanggan di premis berkenaan.

Semua warga asing terbabit tiada dokumen dan melanggar syarat pas lawatan sosial, malah kedua-dua premis berkenaan turut didapati beroperasi secara haram tanpa lesen perniagaan sah.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Selangor diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, bermula jam 11 malam.

Mohd Khaizam berkata, serbuan Op Noda itu dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya berhubung kewujudan aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan terbabit.

“Dalam serbuan pertama di Bandar Bukit Tinggi 1, sembilan wanita Vietnam selain dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan.

“Serbuan kedua di Taman Bayu Tinggi menahan lima wanita warga negara sama dan seorang penjaga premis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Khaizam, operasi dua jam itu turut merampas peralatan seperti monitor, pembesar suara, amplifier, mikrofon dan sejumlah wang tunai.

“Semua yang ditahan dan barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata Mohd Khaizam, pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu melakukan kesalahan tiada dokumen dan melanggar syarat pas lawatan sosial manakala penjaga premis menggaji pekerja asing tanpa permit.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 39 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 selain Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” katanya memaklumkan wanita itu tidak menawarkan khidmat seks di premis berkenaan.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 4:43pm
d