mutakhir

Tokan kantoi di ladang getah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

ENAM lelaki, termasuk dua daripadanya disyaki mengedar dadah ditahan dalam serbuan di ladang getah dekat Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, serbuan yang dijalankan antara 3.30 hingga 6 petang itu berjaya menahan keenam-enam mereka yang berusia antara 39 hingga 47 tahun.

Katanya, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat mengenai lokasi yang sering dijadikan lubuk penagih dadah.

“Polis menahan enam lelaki yang mana dua daripadanya disyaki pengedar dadah. Pemeriksaan lanjut juga menemui sejumlah dadah pada mereka.

“Dadah yang ditemui adalah jenis heroin dengan anggaran berat 27.26 gram dan syabu 0.61 gram,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Norazam berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati semua yang ditahan positif dadah.

Katanya, perintah reman bagi membantu siasatan untuk semua suspek juga sudah diperoleh membabitkan dua seksyen yang berbeza.

“Dua suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 direman selama enam hari sehingga Selasa depan.

“Empat lagi suspek yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 direman selama tiga hari,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 7:02pm
d