mutakhir

AnIS bantu anak OKU Selangor

Oleh Faliq Lajim

KERAJAAN Selangor mewujudkan bantuan khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi membantu kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia bertujuan membantu meringankan tanggungan kos sara hidup, pemulihan dan pendidikan anak OKU yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

“Kerajaan negeri memperuntukkan dana bantuan khas (kecemasan) berjumlah RM500,000 tahun ini bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga kepada anak OKU terutama menanggung saringan kesihatan.

“Selain itu, bantuan berkenaan boleh digunakan mereka untuk membeli peralatan khas bagi tujuan pemulihan.

“Had permohonan yang ditetapkan bagi setiap keluarga adalah RM5,000 setahun,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, syarat yang ditetapkan antaranya anak itu mempunyai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemohon yang mempunyai atau menjaga anak OKU boleh mengisi lengkap borang permohonan AnIS di Pusat Khidmat Masyarakat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor atau layari laman web www.selangor.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, dana berkenaan juga akan disalurkan beberapa taska di setiap DUN bertujuan melatih guru yang mengasuh kanak-kanak OKU.

“Ia bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU kerana terpaksa menghantar anak mereka ke tadika khas yang menelan kos tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 8:19pm
d