mutakhir

Elaun untuk penerima PJM

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Pertahanan dan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) bercadang memberi elaun kepada lebih 70,000 penerima dan bakal penerima anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, perkara itu sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan ke-2 di Kementerian Pertahanan hari ini.

“Pertimbangan yang dibuat adalah berlandaskan dasar sedia ada serta mengambil kira cabaran masa kini serta masalah yang dihadapi veteran ATM.

“Bagaimanapun perkara ini masih lagi dalam peringkat perbincangan sebelum dimuktamadkan untuk dilaksanakan segera,” katanya selepas mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini pemberian elaun itu terkandung dalam empat kertas kerja yang mengandungi inisiatif bagi tujuan membantu serta menjaga kebajikan veteran ATM sebagai fokus utama.

“Cuma pada masa ini kita tidak boleh umumkan amaun (kadar bayaran elaun) kerana perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Untuk rekod, PJM diberikan kepada semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sejak 1969 hingga 1990 serta turut terbabit dalam menentang pengganas komunis.

Setakat ini 25,804 veteran ATM dianugerahkan PJM manakala veteran yang layak dan belum dianugerahkan PJM berjumlah 44,196.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 8:24pm
d