mutakhir

Aiman tidak akan bersendirian - PM

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

TUN Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali tidak akan bersendirian dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat apabila terpilih nanti.

Perdana Menteri berkata, Muhammad Aiman tidak perlu gentar dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan dia masih mentah untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Nampak Aiman ini dia muda sikit dari saya, tapi walaupun muda di belakangnya banyak orang tua termasuk ada yang 93 tahun tak berhenti bercakap, untuk membantu generasi muda ini.

“Jadi masa muda ini adalah masa latihan dia dapatkan panduan, tunjuk ajar daripada generasi tua.

“Jangan fikir dia tak boleh buat apa. Dia boleh kerana kami gabungan empat parti ada di belakangnya ditambah dengan parti WARISAN yang kami sebagai kerajaan pusat sentiasa membuka pintu kepada mereka,” katanya ketika berucap pada program Santai 2-Roda Semenyih 2019, hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Pemuda PH merangkap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, kemenangan Muhammad Aiman pada PRK Semenyih Sabtu ini membolehkan pelbagai usaha dilakukan untuk penduduk Semenyih.

“Bila kita berkuasa kita boleh buat banyak benda dan kami tahu ini kerana kami dulu dari parti lawan,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 8:36pm
d