mutakhir

Nilai kemanusiaan di Hospital Medan Malaysia

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEORANG kanak-kanak lima tahun, etnik Rohingya membawa bayi perempuan berusia tujuh bulan untuk dirawat di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Kedua-duanya pula tidak mempunyai pertalian darah dan sebatang kara berikutan kematian ahli keluarga terdekat.

Pengalaman merawat pesakit itu antara yang paling meninggalkan kesan buat Komander Op Starlight-2, Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen yang mengetuai pasukan seramai 28 petugas di HMM bagi tempoh enam bulan lalu.

“Mereka tiada pertalian darah dan yatim piatu, datang ke HMM untuk rawatan. Itu antara detik yang tidak boleh saya lupakan sepanjang bertugas di sana.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan datang ke hadapan pintu HMM sambil mendukung bayi terbabit. Dia masih kecil dan tidak mempunyai pertalian darah, namun sifat kemanusiaannya untuk menolong bayi terbabit sangat menyentuh perasaan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Tim Op Starlight-2 di Wisma Transit, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur, hari ini yang turut disertai Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman.

Susulan kepulangan pasukan itu, 22 petugas mewakili pasukan Op Starlight-3 dihantar ke HMM menggantikan mereka.

Dr Mohd Arshil berkata bertugas di HMM mencabar keupayaan mereka terutama apabila sukar berkomunikasi dengan pelarian Rohingya selain ramai antara mereka yang buta huruf.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyulitkan mereka untuk menyediakan preskripsi ubat pelarian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pengalaman bertugas di situ tetap berharga buat mereka dan dianggap ‘medan’ bagi pasukan perubatan ATM menimba pengalaman dalam menangani kes kritikal di kawasan bencana.

“Di sana, setiap hari kami menerima lebih 200 kes kronik dan kritikal yang kebanyakannya dirujuk daripada hospital tahap satu dan tahap dua di sana.

“Kes yang dirujuk pula pelbagai dan memang sukar bagi kami, namun Alhamdulillah, kebanyakan kes dapat diberikan rawatan yang terbaik sekali gus menjadikan pasukan perubatan ATM lebih bersedia,” katanya.

Malah, beliau berkata, kejayaan itu turut diukur menerusi pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap HMM sebagai hospital medan tahap tiga terbaik di Cox’s Bazar.

“Pengiktirafan WHO itu adalah sejarah kejayaan bagi ATM, yang sehingga kini HMM di Cox’s Bazar sudah merawat lebih 64,000 pesakit dan melaksanakan lebih 1,500 pembedahan sejak dibuka pada awal 2018,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 9:36pm
d