mutakhir

'Oh ibu, ibu kat mana...'

Oleh Adnan Ibrahim

“SELEPAS menyerahkan sijil daftar kelahiran dan menjelaskan bayaran hospital, kami terus terputus hubungan,” kata Mohd Zulkarnain Sebede yang menjejaki ibu kandung anak angkat perempuannya yang kini berusia tiga tahun.

Mohd Zulkarnain, 33, bersama isterinya, Noraini Ismail, 36, merayu bantuan orang ramai untuk mencari seorang wanita bagi membantu menyelesaikan urusan penyerahan bayi perempuan kepada mereka yang dilakukan pada 24 April 2016 iaitu sehari selepas bayi itu dilahirkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Menurutnya, wanita dikenali Noor Hartiqha Mohd Rudzuan yang kini berusia 27 tahun tidak dapat dikesan selepas menyerahkan zuriat dilahirkannya kira-kira tiga tahun lalu.

“Walaupun beberapa kali berkunjung ke alamat diberikan mengikut kad pengenalannya di Kampung Batu 7, Blok 3 dan Taman Puteri Simpang Renggam, penduduk di kawasan berkenaan mendakwa tidak mengenali wanita itu.

“Kami mencarinya untuk menyelesaikan masalah penyerahan anak angkat melalui cara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana bimbang berlaku perkara menyulitkan urusan dokumen peribadinya apabila dewasa nanti.

“Kini bayi perempuan diberikan nama Nur Falisha Abdullah, 3, yang berada dalam jagaan kami amat memerlukan semua urusan berkaitan penyerahan ini kerana tidak lama lagi akan memulakan alam persekolahan,” katanya.

Mohd Zulkarnain berkata, dia dan isterinya yang tinggal di Parit Wak Jubir, Jalan Parit Terus di Benut amat berharap wanita itu dapat menemui mereka bagi menyelesaikan semua urusan berkaitan.

“Ketika menyerahkan bayi itu, wanita berkenaan hanya memberikan surat daftar kelahiran sebelum saya menghantarnya pulang ke Taman Puteri Emas di Simpang Renggam selepas menyelesaikan urusan bayaran di hospital.

“Selepas sahaja menghantarnya, kami tidak lagi dapat berjumpa dengan wanita itu dan percaya premis yang dikatakan sebagai kediamannya itu hanya rumah bujang,” katanya.

Zulkarnain berharap orang ramai yang mengenali wanita ini itu supaya dapat berhubung terus dengannya di talian 017-7096875 bagi membolehkan mereka bertemu, sekali gus menyelesaikan perkara berkaitan.

Katanya, dia serta isteri amat sayangkan anak angkat itu kerana hanya dia satu-satunya anak dimiliki mereka ketika ini.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 12:25am
d