mutakhir

Succi Wudu mesra OKU

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Prihatin dengan keperluan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, sekumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan, Alam Bina, Sains Komputer dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) bekerjasama mencipta inovasi stesen wuduk mudah alih serta fleksibel diberi nama Succi Wudu.

Ketua Penyelidiknya Prof Madya Ir Dr Siti Zawiyah Md Dawal berkata, inovasi diperbuat daripada gentian kaca itu dibangunkan hasil inisiatifnya bersama ketua sub projek, Dr Norhanim Zakaria dan Dr Nazean Jomhari serta tiga penyelidik bersama, Prof Madya Dr Wan Nor Liza Wan Mahadi, Prof Madya Dr Roslina Ahmad dan Prof Datuk Dr Mohd Yakub@Zulkefli Mohd Yusoff.

Siti Zawiyah berkata, projek ciptaan inovasi itu dilaksanakan selepas mendapat bantuan geran dari UM menerusi kajian selama tiga tahun bermula November 2015 hingga Ogos tahun lalu.

“Hasil dapatan diperoleh menunjukkan hanya 16 peratus OKU mengambil wuduk di masjid manakala selebihnya cenderung berbuat demikian di rumah dan tempat kerja.

“Menyedari hal itu, timbul idea untuk mencipta stesen wuduk mudah alih dengan rekaan mesra OKU terutamanya mereka yang menggunakan kerusi roda.

“Menariknya inovasi ini adalah stesen wuduk mudah alih pertama seumpamanya pernah dihasilkan dan bukan setakat OKU malah kemudahan ini juga dicipta untuk kemudahan semua golongan daripada pelbagai peringkat umur termasuk warga emas, pesakit strok dan mereka yang mengalami dimentia,” katanya ketika ditemui di Makmal Ergonomik, Fakulti Kejuruteraan UM di sini, semalam.

Menurutnya, kajian dijalankan turut membabitkan soal selidik kepada lebih 200 sampel yang mana sebahagiannya menjalani ujian menerusi lapan prototaip yang dihasilkan.

Katanya, lebih 100 sampel terdiri daripada golongan OKU dan ujian serta soal selidik itu dijalankan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Surau Akademi Pengajian Islam UM dan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial Melaka.

“Alhamdulillah, ujian dan soal selidik dijalankan memberi kita maklum balas yang positif dan majoriti OKU selesa menggunakannya.

“Malah kemudahan yang lengkap dengan roda keselamatan, tempat kaki fleksibel dan reka bentuk ergonomik memberi keyakinan untuk kita memasarkan produk ini ke masjid, surau, hospital, pusat rehabilitasi, rumah warga emas, hentian rehat dan rawat, lapangan terbang atau dalam pesawat bagi kegunaan penumpang termasuk jemaah haji yang dalam perjalanan ke Makkah.

“Inovasi ini dalam proses untuk dipatenkan sebelum dikomersialkan dalam waktu terdekat dan sebagai salah seorang penyelidik, saya berharap ia diterima baik seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam tidak hanya di dalam tetapi juga luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 6:00am
d