mutakhir

Mokcik, demo hebak!

Oleh Siti Rohana Idris

KUDUNG sebelah kaki dan kedua-dua tangan tidak sempurna bukan penghalang bagi wanita dari Kampung Geting di Tumpat, mencari rezeki dengan menjahit baju.

Walaupun hanya ada ibu jari di tangan sebelah kiri dan tiga jari di bahagian kanan, Fatimah Mahmud, 59, ligat menggunting kain serta memasukkan benang ke dalam jarum.

Fatimah tidak menggunakan kekurangannya sejak lahir itu untuk meraih simpati sebaliknya berusaha menyara hidupnya yang sebatang kara dengan kemahiran yang dipelajarinya sejak lebih 40 tahun lalu.

Fatimah berkata, sejak kecil lagi dia sudah berjalan menggunakan lutut kerana kaki kanannya kudung sehingga ke paras buku lali.

“Saya bergerak menggunakan lutut atau mengengsot dan apabila banyak berjalan, lutut akan sakit dan melecet sehingga berkudis.

“Untuk menjahit pula tiada masalah kerana saya menggunakan kaki kiri untuk menekan motor mesin jahit dan hanya memerlukan kecekapan di bahagian tangan untuk memegang kain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Fatimah yang tidak pernah berkahwin berkata, keputusannya untuk belajar menjahit suatu ketika dahulu adalah kerana memikirkan masa depannya yang mungkin tidak secerah orang lain.

Katanya, nasibnya baik kerana diterima belajar tanpa sebarang halangan, namun permulaannya agak sukar berikutan faktor fizikalnya itu dan akhirnya boleh diibaratkan alah bisa tegal biasa.

“Pergerakan yang terhad serta tiada sebarang kenderaan menyebabkan saya sering meminta bantuan dari ahli keluarga untuk keluar membeli peralatan menjahit.

“Pada masa sama, saya tidak mempunyai mesin kelim tepi dan terpaksa menghantar kain yang diupah pelanggan ke rumah penduduk kampung untuk dijahit kelim tepi sebelum kain itu boleh dijahit menjadi baju.

“Selalunya saya akan meminta bantuan adik atau anak saudara untuk keluar membeli peralatan menjahit ataupun saya sendiri keluar dengan membonceng motosikal mereka.

“Jika ada motosikal roda tiga untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) seperti saya ini, boleh lah guna..sudah tak perlu menyusahkan sesiapa lagi,” katanya.

Fatimah berkata, upah yang dikenakan untuk sepasang baju bermula serendah RM25 untuk baju kurung dan harga itu dianggap sesuai dengan persekitaran kampung.

Menurutnya lagi, pelanggan bagaimanapun ada yang memberikan upah yang lebih kerana simpati melihat keadaannya dan Fatimah menganggap itu rezekinya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 9:11am
d