mutakhir

IPD digalak guna Whatsapp

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS Negeri Sembilan menggalakkan semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri ini menggunakan WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, inisiatif itu dilihat dapat membantu polis mencegah dan menangani kelakuan jenayah dengan pantas.

“Ia adalah sebagai penambah baik daripada program kepolisan komuniti yang diperkenalkan polis dengan menggunakan komunikasi maya atau laman sosial sebagai medium pemberitahuan.

“Kita menggalakkan semua IPD di negeri ini mengambil langkah mewujudkan talian SMS dan WhatsApp bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat dengan cepat kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program High Profile Policing Reaching Out Kepimpinan Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Taman Tasik Bahau di Jempol, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin.

IPD Jempol menjadi daerah yang pertama memperkenalkan kaedah itu sejak awal tahun ini.

Sementara itu, Muhd Nur Hishamuddin berkata, langkah itu dilakukan kerana mengambil kira teknologi komunikasi berkenaan yang semakin mudah ketika ini dan talian itu beroperasi 24 jam.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghantar WhatsApp ke 011-58901412 selain menghubungi talian 06-4583449.

Pada majlis itu, Mohamad turut melancarkan pelekat talian hotline, SMS dan WhatsApp IPD Jempol selain turut mengadakan sesi dialog bersama masyarakat setempat.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:28am
d