mutakhir

Mursyidul am PAS hadir ke SPRM

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Hashim Jasin tiba di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh UMNO.

Hashim tiba di perkarangan Bangunan Persekutuan Kangar dengan menaiki Proton Saga warna putih ditemani isterinya, serta tiga anggota Jabatan Amal PAS.

Beliau yang tiba dengan memakai baju Melayu berwarna hijau, berseluar kelabu dan berkopiah putih masuk melalui pintu parkir belakang bangunan.

Selain Hashim, Exco PAS, Nasir Daud turut dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM di Kelantan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM yang juga difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1MDB diberi UMNO.

Sementara, 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi kes sama.

Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:30am
d