mutakhir

'Hampir dua hari tak makan' [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 34 Pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak mendarat di Pantai Sungai Belati, Sungai Baru, Kangar, kira-kira 7.30 pagi tadi.

Menurut sumber, mereka yang menaiki bot ditinggalkan oleh tekong dipercayai sindiket kira-kira 500 meter dari pantai.

“Orang kampung yang ketika itu keluar ke laut ternampak mereka yang dalam keadaan berselut cuba berjalan ke pantai.

“Diiringi tangisan kanak-kanak yang didukung oleh bapa dan ibu mereka ketika melalui pantai yang berselut.

“Orang kampung yang terdiri daripada nelayan dan warga kerja Perlis Power Plant Sdn Bhd cuba membantu mereka ke pantai bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis,” katanya.

Sumber itu berkata, orang kampung turut membantu mereka memberikan makanan dan minuman kepada semua pelarian berkenaan.

“Mereka diberikan roti dan air kotak dan kesemua mereka tidak faham berbahasa Malaysia.

“Kami berikan makanan kerana wajah mereka kelihatan sangat keletihan dan kelaparan. Mungkin hampir dua hari tidak menjamah apa-apa di atas bot,” katanya.

Semalam, akhbar Harian Metro mendedahkan PATI terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan etnik Rohingya masuk ke negara ini melalui laluan rahsia dipercayai berhampiran Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Wang Kelian, Perlis.

Kesemua mereka dicaj antara RM5,000 ke RM16,000 bagi dan dikesan menjadikan sebuah kilang tinggal di Napoh, Jitra sebagai transit sebelum diambil oleh sindiket untuk ke Pulau Pinang bagi mencari pekerjaan.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 12:27pm
d