mutakhir

Henti aktiviti luar kelas

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Pendidikan menyeru pihak sekolah supaya menghentikan aktiviti luar kelas memandangkan cuaca panas pada ketika ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, surat peringatan sudah dikeluarkan pada pertengahan Februari lalu kepada semua sekolah.

Katanya, difahamkan kebanyakan sekolah mengadakan acara sukan tahunan bermula minggu depan.

“Sekiranya waktu panas, kita tak galakkan sekolah adakan aktiviti dan kita galakkan murid supaya banyak minum air.

“Ibu bapa juga berpesan kepada anak masing-masing supaya menjaga kesihatan. Banyak minum air dan kurangkan aktiviti luar kerana kesihatan amat penting kepada anak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya meminta penuntut Malaysia yang terbabit susulan krisis antara India dan Pakistan untuk menghubungi pihak kedutaan Malaysia di negara masing-masing.

“Kita sudah dapat perincian terkini dan setakat ini, penuntut kita akan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan. Sekiranya ada apa-apa perkara berlaku, kita ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

“Justeru, kita berharap mereka berhubung pihak kedutaan dan terima arahan diberikan sebab saya yakin, bagi pihak Kementerian Luar dan kedutaan ada SOP berkaitan situasi seperti ini,” katanya.

Semalam, Maszlee dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan sedang memantau krisis yang semakin memuncak di India dan Pakistan selepas ketegangan dilihat berterusan antara kedua-dua negara.

Sebelum ini, Wisma Putra meluahkan kebimbangan terhadap ketegangan terbaru di antara India dan Pakistan.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra dipetik berkata, sebagai negara yang mempunyai hubungan rapat dan lama dengan kedua-dua negara, Malaysia meminta kedua-duanya sedaya-upaya ‘mengawal diri’ serta mengadakan semula dialog dan rundingan.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 1:28pm
d