mutakhir

Heroin, syabu bernilai RM474,660 dirampas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

RISIKAN selama dua bulan membawa kepada penahanan lima lelaki termasuk ketuanya yang aktif dalam sindiket pengedaran dadah sekitar Kedah dan Perlis sejak dua bulan lalu dalam serbuan di tiga lokasi, semalam.

Turut ditemui dadah heroin serta syabu bernilai RM474,660.

Malah, hasil pendapatan menjual dadah itu membolehkan mereka hidup senang sehingga memiliki kereta mewah seperti BMW, Mini Cooper dan Mitsubishi Triton.

Dalam operasi dijalankan bermula 1 hingga 6 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu tiga lokasi di Alor Setar, Yan dan Pendang sebelum menahan suspek berusia 21 hingga 39 tahun.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, polis merampas dadah heroin seberat 26.6 kilogram (kg) dan 2.5 kg syabu bersama empat kereta.

Menurutnya, kereta yang dirampas adalah BMW, Mini Cooper, Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi bernilai RM340,000.

“Dadah terbabit di temui di sebuah rumah di Kampung Sedaka, Yan. Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyekat dadah ini daripada dibeli 100,000 penagih.

“Siasatan juga mendapati dadah ini diambil dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini, Perlis dan Langkawi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, hari ini.

Zulkifli berkata, dua suspek juga memiliki rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Ujian air kencing juga mendapati mereka ini negatif dadah.

“Mereka direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 1:35pm
d