mutakhir

MOF patut lulus peruntukan bina hospital di Semenyih

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi isyarat kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk meluluskan peruntukan bagi pembinaan hospital baharu di Semenyih, bukan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara berkaitan meluluskan hospital bukan di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan, sebaliknya Kementerian Kewangan.

“Tetapi KKM boleh lakukan ‘planning’ (perancangan) sahaja, akhirnya yang menentukan mampu atau tidak bukan KKM tetapi Menteri Kewangan… kalau sudah bersedia dengan kewangan, saya lebih suka membina sebanyak mungkin fasiliti (hospital) kesihatan.

“Tun lebih mengisyaratkan mungkin MOF perlu memberi peruntukan itu dan saya bersedia membangunkan apa pun fasiliti yang boleh membantu dan mengisi keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan ke-2 AMDI International Oncology & Medical Physics Symposium di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Tun Mahathir sewaktu berucap pada Majlis Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) semalam yang dalam nada gurauan ‘hendak mengetuk kepala menteri yang tidak meluluskan hospital Semenyih’.

Tun Mahathir dipetik berkata, permintaan hospital baharu itu harus dipertimbangkan jika calon PH berkenaan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Sementara itu, Dr Dzulkefly, yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pembinaan hospital atau klinik kesihatan akan bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

“Saya punya perancangan untuk seluruh negara, maknanya saya kena cermat dan berhati-hati, tambahan pula dengan keadaan kewangan sedemikian.

“Kalau Tun mengizinkan itu, saya tidak mempunyai masalah untuk membangunkan klinik atau hospital, di Semenyih atau kawasan parlimen itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Kita perlu ada kerjasama dan komitmen daripada semua pihak untuk menguruskan perkara itu.

“Kalau Tun beri isyarat daripada itu, saya rasa kita tiada masalah untuk uruskan dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 3:13pm
d