mutakhir

Ditendang sebelum disamun

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG kerani bank bukan sahaja menanggung kerugian RM7,000 sebaliknya turut ditendang dalam satu kejadian samun di kawasan parkir berhampiran sebuah plaza di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah malam ketika lelaki berusia 46 tahun itu berjalan berseorangan di kawasan berkenaan sebelum tiba-tibanya badannya ditendang menyebabkan dia jatuh.

Menurut sumber, suspek yang memakai topeng penutup muka kemudian mengambil beg mangsa mengandungi pelbagai dokumen dan barangan berharga termasuk wang tunai RM7,000 sebelum melarikan diri.

Katanya, mangsa cuba mengejar suspek namun tidak berjaya sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan mangsa menjalankan perniagaan menjual pakaian dan wang berkenaan adalah duit modal bagi perniagaannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 4:31pm
d