mutakhir

[UPDATE] 'Kaki mereka kembang selain letih dan kuyup'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

“KAMI kasihan melihat mereka kerana keadaan kaki semuanya sudah kembang akibat terlalu lama berada dalam air selain sehelai sepinggang.

“Disebabkan itu kami memberikan pakaian dan makanan kerana mereka kelihatan letih dan kuyup dipenuhi lumpur,” kata penduduk tempatan dikenali Ashraf, 30.

Menurutnya, 34 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu difahamkan sudah sampai di Sungai Belati, Sungai Baru, Kangar sejak jam 3 pagi hari ini.

“Pada awalnya kami menyangka mereka pengumpul siput mentarang namun selepas melihat raut wajah mendapati kumpulan itu adalah etnik Rohingya.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat penduduk Rohingya bermastautin di sini untuk berinteraksi dengan mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu.

“Menurut penterjemah, mereka datang dari perairan Thailand dan diturunkan tekong bot pada jam 3 pagi kira-kira 500 meter dari pantai dalam keadaan sehelai sepinggang,” katanya.

Ashraf berkata, bagaimanapun kumpulan terbabit hilang arah dan duduk di dalam selut sehingga fajar sebelum disedari penduduk kampung yang ketika itu keluar bekerja.

“Mereka terdiri wanita berusia lingkungan 20-an ke 30-an, manakala sembilan kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan.

“Mereka juga ada beritahu, mereka sepatutnya mendarat di pantai perairan Thailand namun penduduk di sana mengugut dengan ugutan keras sehingga memaksa sindiket menceroboh perairan pantai negara,” katanya.

Katanya, mereka dibawa ke depot Jabatan Imigresen Perlis di Kangar.

Difahamkan mereka sepatutnya mendarat awal pagi semalam namun sindiket itu terpaksa menunda perjalanan kerana mengetahui pembongkaran pihak berkuasa mengenai jenayah pemerdagangan manusia di Napoh, Kedah baru-baru ini.

Perkara itu berdasarkan maklumat yang diberikan salah seorang PATI kepada penduduk di Kampung Sungai Bahru.

Berita berkaitan

'Hampir dua hari tak makan'

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 5:46pm
d