mutakhir

Inkues Adib bersambung 19 Mac

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

PROSIDING inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim pada Isnin dan Selasa ini di Mahkamah Koroner Shah Alam, dilapangkan.

Ia berikutan permohonan penggantungan perbicaraan inkuiri yang difailkan oleh Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman yang akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan perkara itu selepas dimaklumkan oleh Pegawai Pengendali inkues, Hamdan Hamzah bahawa pihaknya sudah menerima afidavit daripada badan itu.

“Saya baharu sahaja menerima afidavit itu, justeru kami perlu memfailkan afidavit balasan menerusi sistem e-filing di Mahkamah Rayuan petang ini,” katanya.

Prosiding dijadualkan bersambung pada 19 Mac depan.

Pada 22 Februari lalu, jawatankuasa itu gagal dalam permohonannya untuk menggantung sementara prosiding inkues selepas Mahkamah Rayuan memutuskan prosiding itu adalah berkepentingan awam.

Mahkamah juga menangguhkan perbicaraan penggantungan itu kepada 4 Mac bagi membolehkan jawatankuasa bertindak kuil memfailkan afidavit mengenai kedudukan perundangannya dalam permohonan serta bagi Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit balas kepada permohonan.

Setakat ini, Mahkamah Koroner sudah mendengar keterangan 19 saksi dalam tempoh 12 hari prosiding.

Pada 13 Februari, Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Februari lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonan jawatankuasa itu untuk menjadi peguam pemerhati pada prosiding inkues.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan jawatankuasa bertindak kuil berhubung keputusan Mahkamah Koroner bahawa jawatankuasa itu tidak mempunyai kepentingan dalam inkues bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib.

Pada 31 Januari, Rofiah menolak permohonan jawatankuasa bertindak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

Muhammad Adib, 24, anggota Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November.

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember ketika dirawat di Institut Jantung Negara.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 6:04pm
    d