mutakhir

Geng Imut tumpas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali ‘Geng Imut’ dengan tangkapan enam lelaki di sekitar Puchong, pada 18 Februari lalu.

Semua yang ditahan terdiri empat lelaki warga tempatan dan dua warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, hasil penahanan itu, pihaknya berjaya menemui lapan motosikal dipercayai dicuri di kawasan sekitar daerah ini.

“Suspek berusia 25 sehingga 30 tahun itu akan menjual dan meleraikan motosikal yang dicuri.

“Suspek juga dikesan turut mengubah nombor casis motosikal yang dicuri bagi mengelakkan dikesan polis,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Risikin berkata, semua suspek kini ditahan reman empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, polis juga masih memburu beberapa lagi rakan mereka yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kejadian jenayah diminta melaporkan segara kepada pihak polis supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 6:55pm
d