mutakhir

Hati-hati komen

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: Polis Johor menasihatkan semua pengguna laman media sosial atau netizen supaya beretika dalam memberi komen yang membabitkan isu sensitif terutama agama.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sesetengah pengguna media sosial memberikan komen tidak bertanggungjawab yang menjadi kecaman kepada individu lain serta menggugat sensitiviti.

“Saya mahu menasihatkan individu yang hina agama lain di media sosial seperti Facebook dan sebagainya, apa yang kamu dapat sebenarnya, ia hanya membuang masa.

“Kita dalam satu negara berbilang bangsa, tidak perlu komen antara satu sama lain.

“Kamu agama kamu, saya agama saya, kita buat cara masing-masing,” katanya ketika sidang media pada majlis Pra Pelancaran Hari Bertemu Pelanggan Mega Polis Diraja Malaysia Johor di Aeon Mall Kulai, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan sesetengah pengguna media sosial yang dilihat seperti sengaja memberikan komen yang tidak sensitif mengenai agama lain sehingga menyebabkan perbalahan dan ketidaktenteraman awam.

Baru-baru ini, dua individu mencetuskan kemarahan umat Islam membabitkan kes menghina Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan bantahan dan himpunan rakyat dilakukan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Khalil berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negeri ini.

“Ketahuilah bahawa tindakan kita diambil mengikut peruntukan undang-undang dan kedua-dua kes (hina Nabi Muhammad SAW) sudah pun diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 8:23pm
d