mutakhir

Mana mau lari [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

LIMA wanita yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dicari bagi membantu siasatan kes kehilangan rantai emas di sebuah kedai emas di Jalan Datuk Tan Seng Leong, Kluang,Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian 5.30 petang itu, pengadu wanita berusia 19 tahun didatangi lima individu kononnya mahu melihat dan memilih barang kemas yang dipamerkan.

Beliau berkata, ketika seorang daripada wanita terbabit melihat rantai emas, dua lagi rakannya mengajak pengadu berbual untuk mengalik perhatiannya.

“Tanpa disedari pengadu, wanita yang melihat rantai emas tadi memasukkan barang kemas ke dalam poket bajunya.

“Sebaik selesai, kelima-lima wanita itu terus keluar tanpa membeli apa-apa dan pengadu mengesyaki sesuatu tidak kena membuat pemeriksaan sebelum mendapati 14 utas rantai emas bernilai kira-kira RM65,000 hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, kelima-lima wanita terbabit sudah dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan, selain gambar yang berjaya dirakam CCTV di luar kedai.

“Rakaman CCTV dianalisa untuk mengenal pasti identiti suspek dan usaha untuk mengesan semua wanita itu sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Abduh berkata, orang ramai yang melihat atau ternampak kelibat serta mengetahui kedudukan suspek dinasihatkan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 8:41pm
d