mutakhir

Api bakar sampah sambar kereta

Oleh Siti Rohana Idris

TINDAKAN individu membakar sampah secara terbuka di Taman Tengku Anis, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, menyebabkan sebuah kereta terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, sebuah kereta Proton Waja milik pengunjung taman berkenaan hangus 60 peratus selepas disambar api.

Kereta terbabit diletakkan di tempat parkir kenderaan dalam jarak kira-kira 15 meter dari lokasi pembakaran sampah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Azlan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang dan tiba 6.08 petang.

“Seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, kami dapati kenderaan itu terbakar 60 peratus di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 6.30 petang dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Mohd Azlan berkata, api merebak dengan pantas disebabkan timbunan sampah bercampur dengan daun pokok yang kering.

“Selain itu, keadaan angin dan cuaca panas kering juga menjadi faktor api marak dan menyambar kereta itu.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di premis dan kediaman.

“Dalam cuaca kemarau, kebakaran kecil boleh mengundang kepada bencana kerana api cepat merebak,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:40pm
d