mutakhir

Kecut diserbu!

Oleh Nur Saliawati Salberi

PANIK selepas menyedari rumah kongsi dihuni diserbu jabatan imigresen seorang lelaki warga Bangladesh bertindak nekad menolak pegawai Imigresen wanita sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan loji kumbahan di Sungai Putat, di sini, jam 3.15 pagi semalam.

Namun lelaki berusia 30-an itu ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka 500 meter dari rumah kongsi dihuni.

Difahamkan hasil semakan dilakukan kemudian mendapati lelaki itu memiliki dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

Penolong Pengarah Imigresen Kanan (Pengetua Penguat Kuasa JIM) Nar Azaman Ibrahim berkata, operasi lima jam berakhir 5 pagi itu membabitkan tiga tapak pembinaan di Durian Tunggal, Sungai Putat dan Bukit Katil.

Beliau berkata, serbuan dilakukan atas maklumat awam berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan risikan selama lima hari oleh pegawai serta anggotanya.

“Dalam pemeriksaan di tiga lokasi berkenaan kami memeriksa 230 warga asing dan hasilnya 31 individu termasuk dua wanita ditahan.

“Sembilan ditahan berasal dari Indonesia, bakinya pula warga Bangladesh. Mereka ditahan berusia 24 hingga 42 tahun,” katanya selepas mengetuai operasi di Bukit Katil, semalam.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 6:01am
d