mutakhir

Henti sementara pengeluaran sisa WLP

Oleh BERNAMA

LYNAS (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) perlu menghentikan sementara operasi pengeluaran sisa buangan ‘Water Leached Purification’ (WLP) di kilang nadir bumi milik mereka di Kuantan jika masih gagal membersihkan sisa yang ada menjelang September ini.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, ia wajar dipertimbangkan syarikat itu memandangkan sebarang pengeluaran sisa buangan baru akan merumitkan lagi usaha menghantar balik semua sisa bahan itu ke Australia dari premis penapisannya di Gebeng.

“Lynas dalam kenyataannya hari ini (semalam) menyatakan mereka tidak yakin dapat memenuhi untuk mengeluarkan semua sisa bahan buangan mereka sebelum September ini seperti ditetapkan kerajaan sebagai syarat pembaharuan lesen operasi.

“Jika tidak siap dihantar sebelum September, saya berpendapat kilang itu tidak boleh terus mengeluarkan sisa (WLP)…maksudnya saya tidak kata mereka harus tutup kilang, cuma jangan mengeluarkan sisa selagi sisa yang ada itu tidak dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program My Best Buy dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang di Serambi Teruntum semalam.

Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Rosli Awang Da.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan hari ini sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan berikutan itu semua sisa bahan buangan daripada kilang itu dipastikan dibawa pulang ke negara asal seperti ditetapkan sebelum ini.

Kerajaan pada Disember lalu menetapkan dua syarat utama bagi Lynas untuk membolehkan mereka kembali memperbaharui lesen operasi iaitu syarikat itu perlu menghantar 450,000 metrik tan sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan pelan tindakan bagi melupuskan satu lagi sisa buangan iaitu ‘Neutralization Underflow Residue ‘(NUF) yang tidak mengandungi radioaktif.

Ia tertakluk di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7) serta Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Selepas mematuhi syarat itu barulah permohonan pembaharuan lesen boleh dipertimbangkan.

Sementara itu, Fuziah memuji langkah yang diambil FAMA dalam membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu dengan mengadakan program seperti itu yang disifatkan dapat membantu mereka yang terbabit mempromosikan produk keluaran mereka.

Program My Best Buy dan JTDL itu diadakan tiga hari bermula semalam dengan disertai 46 peserta yang memasarkan pelbagai jenis produk termasuk buah-buahan segar, produk tanaman jangka pendek dan ulam-ulaman selain pelbagai produk makanan PKS.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 10:35am
d