mutakhir

[UPDATE] MPV dinaiki 10 orang

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KENDERAAN pelbagai guna (MPV), Toyota Innova yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan semalam, dinaiki 10 orang termasuk empat yang menumpang ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, enam individu adalah pelajar dan ustaz dari Madrasah Tahfiz Ar Rayyan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi yang ke Johor Bahru kerana mahu menghadiri majlis tahlil.

Katanya, empat yang lain menumpang kenderaan itu untuk ke Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, bagi menyertai Himpunan Rakyat : Jangan Hina Nabi Kita yang diadakan selepas solat Jumaat semalam.

“Menurut makluman Madrasah Tahfiz Ar Rayyan, enam termasuk kanak-kanak yang maut ingin pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis tahlil manakala empat yang lain ke program bantahan hina Nabi di Bandar Baru Uda.

“Empat penumpang itu menumpang kenderaan terbabit memandangkan tempat yang hendak dituju laluan sama,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Muhammad Amirul Hakimi Abdullah, 11, penumpang di bahagian belakang.

Katanya, pemandu MPV dikenali sebagai Riduan hanya cedera manakala penumpang di tempat duduk hadapan, Hasnul Rizal Mohd Zain, 46, cedera pergelangan tangan.

Penumpang belakang yang lain adalah Muhammad Salihin Darwisy, 11, (tidak cedera), Abdul A'raaf Iftirash Abdul Karim, 10 (cedera di kepala) dan Muhamad Adam Azian (cedera).

Empat individu yang menumpang kenderaan itu adalah Rodhiyah Abu Hassan, 47, (kritikal), Siti Nur Safiah Abdullah, 15 (cedera), Mariah Ulfah Zulkefli, 26, (kritikal) dan Muhamad Norfauzan, 12, (patah tulang selangka).

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas Toyota Innova dinaikinya bersama sembilan lagi individu terbabas dalam kejadian 1.25 petang.

Ketika itu, identiti semua mangsa termasuk yang meninggal dunia tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mereka di lokasi.

MPV dinaiki mereka terbabas selepas dipercayai mengalami kerosakan pecah tayar menyebabkan ia hilang kawalan sebelum melanggar besi tengah pembahagi jalan dan berpusing serta terbalik di lorong kecemasan arah sama.

Mangsa yang berada dalam kenderaan tercampak ke jalan raya dan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia dan berada tengah pembahagi jalan.

Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan HTSMTI untuk rawatan lanjut.

Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Budak maut tercampak dari MPV terbalik

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 1:02pm
d