mutakhir

Maut jatuh tingkat 12

Oleh Hadzlihady Hassan

WANITA warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Jalan Datuk Keramat, Georgetown semalam.

Wanita itu yang tidak diketahui identiti meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Kejadian jam 2 petang itu hanya diketahui selepas pihak pengurusan kondominium menghubungi polis.

Menurut sumber, wanita itu berada di rumah majikannya kerana dia bekerja sebagai pengasuh bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Hasil keterangan daripada majikannya, dia didapati baru sebulan bekerja sebagai pembantu rumah di kondominium terbabit.

“Majikan hanya mengetahui namanya sebagai Elina namun tidak tahu dia tinggal di mana kerana mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati wanita itu kemungkinan terjatuh ketika mahu mengambil barang di balkoni rumah dan tiada unsur jenayah ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat wanita itu sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 1:21pm
d