mutakhir

Peragut diburu polis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI menjadi buruan polis selepas perbuatannya meragut beg tangan wanita dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Taman Bandar Senawang, Seremban Khamis lalu.

Berdasarkan rakaman, kejadian berlaku jam 8.43 malam apabila lelaki berusia 20-an dilihat memberhentikan motosikalnya dan menghampiri kereta yang berhenti di hadapan sebuah rumah lalu melarikan beg tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 36 tahun.

“Kejadian berlaku ketika mangsa mahu memasukkan kereta ke dalam garaj di rumahnya selepas pulang membeli barang di sebuah kedai.

“Suspek yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda menghampiri kereta mangsa dan mengambil beg tangan yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang lalu melarikan diri,” katanya hari ini.

Berikutan kejadian itu, Hock Poh berkata, mangsa kerugian lebih RM1,000 namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis kini giat mengesan suspek dipercayai lelaki tempatan berdasarkan keterangan mangsa,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Inspektor Mohd Hafizd Abd Hamid di talian 06-6033275 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 1:34pm
d