mutakhir

Calon BN pula terkempen?

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

CALON Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi dikatakan secara tidak sengaja berkempen meraih undi pada hari mengundi hari ini.

Kejadian itu berlaku secara spontan ketika beliau sedang berjalan keluar dari pusat pengundian di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesatan Kelubi, Beranang.

Ketika sedang berjalan keluar dari pusat pengundian berkenaan selepas beliau selesai mengundi, Zakaria, 58, sempat menyampa pengundi dengan mengingatkan nombor calonnya di kertas undi.

“Jangan lupa ya, nombor satu,” katanya ringkas.

Berdasarkan Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada seseorang pun boleh pada hari mengundi mengadakan, memanggil atau memberikan apa-apa ucapan atau syarahan terbuka membabitkan orang ramai atau sebaliknya.

Pagi tadi, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali juga secara tidak sengaja dikatakan melepaskan ungkapan berunsur kempen ketika dikerumuni wakil media sebaik sahaja selesai mengundi di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain.

“Mengundilah PH, undilah (Muhammad) Aiman Zainali,” katanya.

Terdahulu Aiman ketika ditemui selepas itu bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan lancar.

“Proses mengundi juga berjalan lancar dan saya harap pengundi akan membuat pilihan yang bijak demi masa depan Semenyih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 2:50pm
    d