mutakhir

Obesiti penyebab 13 jenis kanser

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SELEPAS tabiat merokok, obesiti dan berat badan berlebihan kini menjadi penyebab kanser dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Individu yang mempunyai berat badan dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 40 atau obes lebih cenderung mendapat kanser berbanding berat badan normal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, menerusi kajian Institut Kanser Kebangsaan mendapati 13 jenis kanser dikaitkan dengan obesiti.

Kanser terbabit ialah payudara, kolorektal, rahim, darah, buah pinggang, kepala dan leher, esofagus, pankreas, endometrium, prostat, pundi hempedu dan tiroid.

Katanya, individu obes lebih cepat mendapat kanser endometrium dan esofagus dengan kadar antara dua hingga empat kali berbanding individu dengan berat badan normal manakala kanser buah pinggang, hati dan gastrik masing-masing dua kali.

“Kanser darah (multiple myeloma), otak (meningioma), pankreas, usus, hempedu, payudara, ovari dan tiroid pula meningkat sehingga 20 peratus sejak beberapa tahun lalu.

“Didapati jangka hayat bagi individu yang mempunyai BMI melebihi 40 juga berkurang sebanyak 10 tahun,” katanya.

Lee ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2019 dengan tema ‘Saya Akan dan Saya Boleh’ di Strait Quay, Sri Tanjung Pinang, Georgetown hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar dan Master Akademi Perubatan Malaysia, Prof Dr Rosmawati Mohamed.

Mengulas lanjut, Lee berkata, kini Malaysia didapati mempunyai penduduk paling ramai gemuk di rantau Asia dengan kelaziman obesiti adalah 17 peratus dan 30.0 peratus berat badan berlebihan.

Katanya, mengatasi obesiti juga mampu mengurangkan insiden penyakit tidak berjangkit lain seperti penyakit hipertensi, diabetes dan kardiovaskular.

“Didapati hampir 60 peratus penyakit kanser di negara ini dikesan lewat pada peringkat tiga dan empat, justeru pengesanan awal menjadi aspek penting dalam rawatan segera bagi meningkatkan peluang penyembuhan.

“Mengesan kanser pada peringkat akhir menyebabkan kos rawatan menjadi lebih tinggi, kualiti hidup yang lebih rendah serta mengurangkan peluang penyembuhan,” katanya.

Sambutan terbabit berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan turut membabitkan agensi kerajaan, swasta dan sukarelawan bagi menyuntik kesedaran mengenai kanser dalam kalangan masyarakat.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 3:29pm
d