mutakhir

Pesawat Hawk mampu beroperasi 10 tahun lagi [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus menggunakan pesawat pejuang Hawk sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang memandangkan ia masih lagi relevan dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, biarpun pesawat berkenaan sudah berusia 25 tahun namun ia masih mempunyai keupayaan walaupun berdepan dengan beberapa isu tertentu.

“Kita tahu apabila pesawat ini sudah berusia 25 tahun sudah tentu ia akan mengalami pelbagai isu namun kita sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi teknologi dan sistem terbaharu supaya Hawk dapat terus digunakan.

“Pesawat Hawk banyak menabur bakti sepanjang perkhidmatannya dan hingga sekarang masih membuat penerbangan operasi di Laut China Selatan dan Pantai Timur Sabah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, hari ini.

Sebelum itu, beliau tiba di pengkalan udara pada jam 11 pagi menaiki pesawat Hawk dipandu Pegawai Memerintah No 6 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abd Hamid.

Sejarah permulaan perkhidmatan pesawat Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994 selepas penerimaan dua pesawat pertama melalui perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Disember 1990.

Pada ketika itu, kerajaan bersetuju mendapatkan perkhidmatan 10 Hawk 108 dan 18 Hawk 208 .

Pesawat itu diterima secara berperingkat dengan dua pesawat pada setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 pesawat.

Sehingga kini, terdapat 19 pesawat Hawk yang masih beroperasi di bawah tiga skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

Antara operasi terbesar yang membabitkan pesawat itu adalah Op Daulat pada Mac 2013 yang mana lima pesawat Hawk ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu.

Disamping itu, pesawat berkenaan juga digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No 15 Skuadron.

Ditanya mengenai penambahan aset, Affendi berkata, ia adalah satu keperluan namun bergantung kepada kaji selidik dan peruntukan daripada pihak kerajaan.

“Keperluan menambah pesawat memang ada kerana teknologi yang semakin canggih cuma sekarang ini keadaan kewangan belum mengizinkan untuk beli aset baru,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 4:08pm
d