mutakhir

Suamiku penagih dadah

Oleh Iskandar Shah Mohamed

ISTERI meraung kesedihan apabila mengetahui suami yang baru dinikahinya beberapa bulan lalu rupa-rupanya penagih dadah.

Perkara itu terbongkar apabila lelaki berusia 25 tahun itu positif syabu ketika mahu mengambil isteri dan bapa mentuanya di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Klang Rabu lalu.

Sumber berkata, sepasukan anggota dan pegawai AADK sebelum itu menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Sri Andalas dalam Ops Aduan dan Cegah, jam 8 malam.

“Ketika serbuan, terdapat tiga beranak mendiami rumah berkenaan termasuk isteri suspek yang berusia 19 tahun.

“Namun isteri dan bapa mentua suspek berusia 50 tahun ditahan kerana gagal bekerjasama ketika diminta menjalani ujian air saringan dengan alasan baru saja selesai mandi dan membuang air kecil.

“Ibu mentua suspek berusia 50-an dilepaskan AADK selepas didapati negatif dadah,” katanya hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas dua beranak itu di pejabat AADK kemudian mendapati negatif dadah.

“Berikutan itu, wanita berkenaan segera menghubungi suaminya (suspek) untuk mengambil mereka pulang.

“Suspek yang juga pemandu van kilang kemudian tiba dalam keadaan mencurigakan sebelum turut diminta menjalani saringan dan didapati positif syabu,” katanya.

Sumber itu berkata, perkara berkenaan membuatkan isteri suspek menangis kerana sedih dengan perbuatan suaminya.

“Siasatan mendapati lelaki itu mengaku terjebak dalam penagihan dadah sejak setahun lalu kerana pengaruh rakan sekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 4:52pm
d