mutakhir

Siput beliung 'serang' Padang Temu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

NELAYAN serta penduduk Kampung Padang Temu, Melaka berpesta di tepi pantai apabila spesis siput yang digelar ‘beliung’ muncul dengan banyak sepanjang kira-kira satu kilometer di pantai terbabit.

Mereka mendakwa, hidupan laut itu jarang ditemui dalam kuantiti banyak sejak puluhan tahun lalu dan menganggap kehadiran siput itu memberikan sumber rezeki tambahan buat mereka.

Tinjauan mendapati, kira-kira 50 pencari siput beliung terdiri dari pelbagai peringkat usia, sanggup meredah air ketika surut sedalam kira-kira satu meter sehingga ke tengah laut untuk mencari beliung.

Selain dijadikan hidangan keluarga, sebahagian besarnya dijual kepada pengunjung luar yang turut ke kawasan terbabit menyaksikan sendiri aktiviti mencari beliung.

Nelayan, Abdul Aziz Hussin, 64, mendakwa sejak hidupan laut itu ditemui di kawasan berkenaan, dia tidak pernah melepaskan peluang mencarinya setiap hari sebagai sumber pendapatan tambahan.

Menurutnya, kemunculan banyak beliung di pantai itu pada mulanya hanya diketahui nelayan saja tetapi apabila orang ramai menularkannya di media sosial, pencarian beliung menjadi tarikan termasuk orang luar Melaka.

“Sekurang-kurangnya 30 kilogram beliung saya dapat setiap hari menerusi pencarian antara tiga hingga empat jam dan ia dijual pada harga RM10 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, pencari beliung perlu berjalan hingga 200 meter ke tengah laut ketika air surut dan kemunculan siput itu di dasar laut dapat dikesan menggunakan tapak kaki.

Katanya, pencari perlu menyelam untuk memungut beliung menggunakan tangan dan disimpan dalam kotak polisterin yang diapungkan di permukaan laut.

“Bagaimanapun, pencari perlu berhati-hati dengan bahaya yang menanti seperti disengat obor-obor, ikan berbisa atau batu tajam,” katanya.

Penduduk tempatan, Yaamah Mohd Deris, 71, berkata, sejak kecil dia tidak pernah mendengar munculnya siput itu dalam jumlah banyak sehingga menjadi tarikan ramai ke Padang Temu setiap kali air laut surut.

“Baru kali pertama lihat aktiviti mencari beliung di kawasan ini, pada mulanya pencari menjualnya RM15 sekilogram tapi semakin ramai yang menjual harganya kini diturunkan RM10 sekilogram.

“Isinya yang kenyal menjadikan beliung ini lebih enak dari kupang malah lebih sesuai dimasak dengan cili atau direbus,” katanya.

Turut tidak melepaskan peluang, Muhammad Nur Akmal Noraffian, 16, yang baru kali pertama mencuba mencari beliung.

“Saya tahu kemunculan beliung sejak beberapa hari lalu dan kali ini saya mahu cuba mencari, Alhamdulillah dapat juga dalam lima kilogram untuk hidangan sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan dan minuman bergerak juga tidak melepaskan peluang mencari rezeki tambahan memandangkan lokasi terbabit bagaikan pesta.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 5:33pm
d