mutakhir

Lepas gian depan isteri

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SUAMI sanggup melepaskan gian di hadapan isterinya sebelum dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah sewa di Kampung Lubuk Pusing, Sungai Besar Rabu lalu.

Dalam Operasi Cegah Lima bermula jam 10 malam itu, lelaki berusia 43 tahun didapati turut memiliki tiga dadah iaitu heroin, syabu dan Eramine 5.

Lelaki itu antara 13 individu berusia 19 hingga 50 tahun yang ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pegawai AADK Sabak Bernam, Zulazli Hashimuddin berkata, operasi khas lapan jam itu membabitkan kawasan Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan suspek positif dadah jenis heroin manakala empat suspek lagi positif dadah jenis Methampetamine.

“Sebelas suspek disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala dua lagi di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

“Lapan daripada mereka direman di Pusat Tahanan Reman AADK Kuala Selangor selama 12 hari dan empat lagi diberikan jaminan oleh pegawai AADK,” katanya hari ini.

Menurutnya, seorang suspek diserahkan kepada polis kerana memiliki dadah.

Zulazli berkata, maklumat daripada orang awam antara faktor kejayaan operasi itu selain hasil pemantauan dan risikan pihaknya.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 7:16pm
d