mutakhir

Uncle Kentang nak bertanding Parlimen Puchong pula

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

BIARPUN tewas dalam saingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih calon Bebas, Kuan Chee Heng tekad menawarkan diri bertanding di kerusi Parlimen Puchong pada pilihan raya akan datang.

Aktivis masyarakat yang dikenali dengan panggilan Uncle Kentang itu memuat naik pengakuan itu menerusi status Facebooknya, Kuan Chee Heng lewat petang tadi selepas mengetahui kekalahannya.

"Rileks dan bertenang. Aku hanya mencari 50 ke 100 undi. Jangan kamu risau untuk aku.

"Aku dah bersedia menerima yang buruk. Tapi saya mahu followers jangan berduka cita.

"Kita telah bina satu rangkaian orang susah di Semenyih, jadi rileka ye. Jangan bersusah hati untuk uncle.

"Uncle memang confirm kalah teruk dan mungkin dapat 50 undi saja. Tetapi uncle telah memenuhi idaman uncle untuk bertanding untuk orang susah sekali.

"Uncle rasa lega dan tenang sekarang. Kita akan bertanding di Parlimen Puchong kelak. Itu baru baru betul betul fight (bersaing)," tulisnya.

Sebagai rekod, Chee Heng terkenal dengan pelbagai produk khidmat masyarakat seperti ambulan 10 sen, van jenazah 10 sen, kereta 10 sen dan rumah sewa RM1 khususnya di kawasan Puchong dan sekitar.

Keputusan tidak rasmi kiraan undi 100 daripada 120 pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi mendahului dengan majoriti 2,222 undi setakat jam 7.31 malam

Zakaria memperolehi 16,636 undi diikuti calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali dengan 14,414 undi, manakala Kuan Chee Heng (BEBAS) dan Nik Aziz Afiq Abdul masing-masing hanya mendapat 601 dan 673 undi.

Keputusan itu dipaparkan di skrin layar pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang ketika ini dan terus dikemas kini dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 8:06pm
d