mutakhir

Kembalikanlah suamiku...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“SUDAH masuk setahun lapan bulan suami hilang, namun naluri saya mengatakan dia masih hidup dan (mungkin) ada di negara jiran.

“Saya harap suami pulang ke pangkuan kerana anak tunggal kami sangat merinduinya dan menganggap ayahnya itu sedang bekerja,” kata Nur Azra Syazwani Abdullah, 26, isteri kepada Mohamad Aiman Zafri, 26.

Mohd Aiman hilang 5 Julai 2017 dipercayai diculik di Jalan Pekeliling, Kota Bharu, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya itu.

Nur Azra Syazwani berkata, anak tunggal mereka, Muhammad Rizqi Rayyan, 4, terlalu merindui bapanya kerana mereka sangat rapat.

Menurutnya, walaupun suaminya sudah lama hilang, tetapi anak mereka masih menganggap ayahnya ke tempat kerja dan tidak pulang ke rumah.

Katanya, apabila dia membawa Muhammad Rizqi Rayyan berjalan dan melalui hotel di Wakaf Che Yeh tempat suaminya bekerja, anaknya itu akan mengatakan bapanya sedang kerja.

“Perkara itu menyedihkan kerana anak masih kecil dan tidak tahu apa yang terjadi kepada ayahnya.

“Saya rayu kepada mereka yang tahu di mana suami saya berada supaya tampil memberi maklumat.

“Saya dan anak tetap setia menunggu kepulangan suami sampai bila-bila kerana mahu keluarga kami menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian 11.15 malam pada 5 Julai 2017, mangsa Mohamad Aiman bersama isteri yang berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak, Kota Bahru, didatangi sebuah kereta sebelum tiga lelaki keluar memaksa suami masuk kenderaan mereka.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu oleh isteri mangsa sebelum dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand yang meminta wang tebusan RM50,000.

Berikutan itu, polis berusaha mengesan suspek utama kes penculikan pembantu am sebuah hotel dikenali sebagai Pok We.

Mengulas lanjut Nur Azra Syazwani berkata, sehingga kini dia sekeluarga langsung tidak menerima khabar berita tentang suaminya dan tidak siapa tahu di mana suami berada.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 9:32pm
d