mutakhir

Derita tulang belakang bengkok, penyakit kepala besar

Oleh Hazira Ahmad

SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) buntu memikirkan kos bulanan yang terpaksa ditanggung kerana setiap seminggu sekali dia perlu berulang alik ke hospital untuk temu janji dan rawatan susulan.

Syafianes Nadhiya Zulkiflee, 28, menghidap penyakit tulang belakang bengkok dan Hydrocephalus atau kepala besar sejak lahir.

Menurutnya, dia mempunyai kakak kembar, Nabiela yang dilahirkan normal.

Katanya, walaupun dilahirkan tidak sama seperti Nabiela yang mempunyai kehidupan seperti manusia normal, dia tidak pernah menyalahkan takdir dan menganggap ia ujian Allah SWT.

“Sejak dilahirkan hingga berusia 12 tahun saya tidak boleh berjalan kerana keadaan kaki yang lemah dan setiap kali ke sekolah, datuk terpaksa mendukung saya ke kelas.

“Walaupun jari kaki saya tidak dapat digerakkan, namun rawatan yang dilakukan membolehkan saya berdiri, tetapi dalam tempoh tidak lama dan dalam masa sama perlu dipegang atau dipapah,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Syafianes Nadhiya berkata, pergerakannya terbatas dan perlu menggunakan kerusi roda setiap masa untuk memudahkan urusan kerja seharian.

Menurutnya, doktor yang merawat mengatakan tulang belakangnya semakin membengkok dan menyebabkannya kerap mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Setiap seminggu sekali saya perlu berulang alik dari Kuala Krai ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk berjumpa pakar selain rawatan fisioterapi.

“Saya perlu membelanjakan hampir RM1,000 sebulan untuk membayar tambang kereta sewa bagi perjalanan pergi dan balik antara RM150 hingga RM200 setiap kali temu janji di hospital.

“Selain kos tambang kereta sewa, saya juga perlu memperuntukkan RM600 sebulan bagi membeli lampin pakai buang untuk diri dan wang bantuan bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan tidak mencukupi,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik ini, sejak lahir dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya yang tinggal di Guchil Lima, Kuala Krai kerana pada ketika itu, arwah ibu bapanya bekerja di Kota Bharu.

Namun katanya, selepas arwah nenek Hasanah Awang meninggal dunia Januari tahun lalu kerana sakit tua, kini dia tinggal bersama datuk, Che Haron Isa, 82.

“Arwah ibu (Hardoeni) meninggal dunia pada 2002 disebabkan kanser tulang, manakala ayah (Zulkiflee Yusoff) meninggal dunia pada 2015 kerana kanser lidah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank, 153029323335, atas nama Syafianes Nadhiya Zulkiflee.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 12:08am
d