mutakhir

Tambah anggota APM sempena LIMA 2019

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi akan menambah lebih ramai anggota penyelamat pantai bagi menghadapi jumlah pengunjung yang meningkat sempena Pameran Antarabangsa Maritim Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, setakat ini APM Langkawi mempunyai empat menara penyelamat pantai iaitu di Pantai Cenang, Pulau Tengah, Pulau Payar dan berhampiran Hotel Pelangi.

Beliau berkata, setiap menara itu mempunyai lapan anggota penyelamat pantai yang terlatih untuk membantu orang ramai atau pelancong sekiranya mempunyai sebarang masalah di kawasan pantai.

“Kita jangkakan lebih ramai pelancong akan ke Langkawi untuk menyaksikan pertunjukan LIMA dan melakukan aktiviti sukan air atau berenang dan sebagainya.

“Disebabkan itu, kita akan menambah sekurang-kurangnya 20 anggota di setiap menara penyelamat pantai sepanjang cuti sekolah ini dan LIMA berlangsung,” katanya ketika ditemui di Menara Penyelamat Pantai Cenang, semalam.

Ahmad Shahfikri berkata, risiko pelancong bukan saja berlaku di air dan pantai malah kehilangan anggota keluarga terutama kanak-kanak perlu diambil kira selain disengat obor-obor.

Katanya, selain itu pihaknya turut meletakkan bendera berwarna di kawasan pantai mengikut piawaian antarabangsa selain zon renang yang selamat untuk pelancong.

“Pelancong hanya dibenarkan mandi dan berenang di kawasan zon yang dikhaskan dan tidak dibenarkan mandi di luar zon berkenaan untuk keselamatan mereka.

“Sekiranya anggota kami ternampak mereka mandi di luar kotak zon itu, anggota akan menegur mereka kerana bimbang dilanggar jet ski atau bot kerana biasanya kawasan Cenang banyak sukan ekstrem,” katanya.

Ahmad Shahfikri berkata, anggotanya bertugas di menara penyelamat pantai itu antara 9 pagi hingga 7 malam setiap hari, namun ada juga anggota yang melakukan rondaan di tepi pantai pada waktu malam.

Katanya, setiap anggota penyelamat pantai juga mempunyai pengetahuan dalam bidang paramedik dan di menara itu juga mempunyai peralatan untuk rawatan awal diberi kepada mangsa sekiranya ia membabitkan luka kecil.

“Kita mempunyai kelengkapan tiga jenis bot di setiap menara penyelamat pantai iaitu amfibia craft, amfibia sealeg dan ambifia treler untuk kegunaan penyelamatan di laut selain ambulans.

“Seramai 200 anggota APM akan bertugas sepanjang LIMA dan kita turut meminta bantuan daripada rakan APM berhampiran untuk membantu sepanjang acara itu berlangsung selama lima hari bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai dalam tahap memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 10:57am
d