mutakhir

Remaja maut dirempuh bas ekspres

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

REMAJA lelaki berusia 19 tahun maut dilanggar sebuah ekspres selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangnya dalam kejadian di Kilometer 406.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Beruntung, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Muhammad Khairil Danial Hamidon, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Ulu Bernam melanggar bahagian belakang Perodua Viva.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di laluan kanan lebuh raya itu sebelum dilanggar sebuah bas ekspres yang kebetulan melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

“Kejadian berlaku di laluan tiga lorong Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Bukit Beruntung menuju ke Ulu Bernam dan mangsa menunggang motosikal seorang diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lim berkata, pemandu bas ekspres yang kebetulan berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan terus melanggar mangsa serta motosikal yang terjatuh.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

“Pemandu bas ekspres serta pemandu Perodua Viva berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun kenderaan mereka mengalami kerosakan akibat kemalangan berkenaan,” katanya.

Menurut Lim, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 11:58am
d