mutakhir

BN menang sebab kerjasama PAS-UMNO - PM [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KERJASAMA antara PAS dan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam adalah antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu lain yang turut menyumbang kekalahan itu termasuk isu yang menyentuh sensitiviti Islam yang dimainkan segelintir pihak.

Beliau berkata, berdasarkan perbezaan majoriti berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu menunjukkan sesetengah pengundi di Semenyih sudah berubah fikiran dan mempunyai persepsi negatif terhadap PH.

“Selain itu, ada segelintir orang yang secara tidak perlu membuat provokasi yang menimbulkan kemarahan orang lain. Mereka melukis kartun Nabi dan pelbagai lagi.

“Semua ini tidak menyumbang kepada kebaikan negara. Jadi, kita harap kita tidak melakukan perkara seperti ini lagi kerana ia membuat orang sangat marah,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara 2019 dengan tema “Malaysia Negara Taman Terindah” di Taman Botani Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi pada PRK.

Zakaria menewaskan calon PH, Mohammad Aiman Zanali yang memperoleh 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng yang mendapat 725 undi.

Dr Mahathir berkata, PH juga akan membuat ‘post-mortem’ mengenai kekalahan mereka pada PRK berkenaan.

Ditanya sama ada PH bimbang dengan kerjasama antara UMNO dan PAS pada PRK akan datang, Dr Mahathir berkata, kedua-dua parti itu boleh bekerjasama dalam PRK tetapi bukan dalam PRU.

“Mereka boleh kerjasama dalam PRK kerana menang kalah tidak penting tetapi dalam PRU, dia tidak boleh kerjasama. Kalau kerjasama, PAS tidak dapat apa-apa,” katanya.

Mengenai sama ada keputusan yang dibuat PH selepas mengambil alih kerajaan menjadi antara faktor penolakan pengundi, Dr Mahathir berkata, PH mahu menunaikan janji tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat kerana hutang negara ketika ini melebihi RM1 trilion.

“Duit yang sepatutnya untuk rakyat kita guna untuk bayar hutang. Baru-baru ini, kita bayar cuma faedah saja sebanyak RM200 juta. Setiap enam bulan nak bayar RM200 juta sebab Datuk Seri Najib (Razak) hutang sehingga RM55 bilion, ceritanya nak buat ECRL (Laluan Rel Pantai Timur).

“Bagaimanapun, kita bercakap dengan kontraktor China ini dan daripada RM55 bilion, (kosnya) turun RM20 bilion kepada RM35 bilion. Ini bermakna dia boleh buat dengan RM35 bilion tetapi kenapa kontrak ni sampai RM55 bilion? Mungkin kerana nak curi duitlah tu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 1:49pm
    d