mutakhir

2 wanita, seorang lelaki ditahan kes dadah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEGAWAI eksekutif, pereka grafik dan bekas kakitangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diasaskan bekas ahli parlimen ditahan selepas polis menemui sejumlah dadah di sebuah unit kondominium di Taman Mutiara, Jinjang, tengah malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, polis turut menemui sejumlah ganja seberat 75 gram dalam serbuan itu.

“Tiga suspek berkenaan membabitkan dua wanita serta seorang lelaki tempatan yang mana seorang daripadanya adalah bekas pekerja di pertubuhan itu, manakala dua lagi masih bekerja dengan syarikat itu.

“Polis sudah mendapat perintah reman tiga suspek berkenaan selama enam hari bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 2:31pm
d