mutakhir

Terengganu setuju jual air ke Kelantan

Oleh Baharom Bakar

SYARIKAT Air Terengganu (SATU) bersetuju untuk menjual air bersih kepada Kelantan bagi membantu rakyat negeri itu yang dijangka berhadapan dengan krisis bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, perjanjian persefahaman penjualan air bersih ke Kelantan sudah ditandatangani pada tahun 2015 lalu.

Katanya, melalui perjanjian itu, SATU menyalurkan bekalan air bersih sebanyak 150,000 meter padu kepada 1,200 pengguna yang terjejas di daerah Pasir Putih termasuk di Kampung Bukit Yong, Semerak dan Tok Bali.

“Terbaharu, kerajaan Kelantan meminta untuk membekalkan air bersih ke dua lagi kawasan iaitu di Pasir Mas dan Tanah Merah

“Kerajaan negeri dan SATU bersedia untuk membekalkan air terawat kepada Kelantan jika negeri itu berhadapan dengan bekalan air berikutan musim kemarau,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Atemin berkata demikian ketika mengulas cadangan Kerajaan Kelantan akan mengadakan perjanjian membeli air dari Terengganu, sekiranya bekalan air berkurangan akibat musim kemarau.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Atemin berkata, SATU tidak berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air bersih untuk membekalkan sumber keperluan itu kepada Kelantan, walaupun Terengganu juga bakal menghadapi masalah kemarau.

“Kita mempunyai banyak sumber untuk menampung keperluan bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini, jika kerajaan negeri memutuskan bersetuju menjual air kepada Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 3:05pm
d