mutakhir

Pesawah Kota Belud mula resah

Oleh Suzianah Jiffar

CUACA panas berpanjangan di Sabah memberi kesan kepada sebahagian pesawah di Kota Belud.

Tinjauan di Kampung Tempasuk 2 dan Kampung Sangkir di daerah itu mendapati ada tapak sawah merekah, dipercayai kurang air kesan cuaca panas sejak hampir sebulan lalu.

Beberapa petani yang ditemui melahirkan rasa bimbang cuaca panas berpanjangan akan merosakkan sawah mereka yang sudah merekah, selain hasil padi terjejas.

Seorang petani dari Kampung Rinig, Tempasuk 2, Stephanie Tiapa, 41, berkata, dia yang mula menanam bagi musim baharu pada awal Februari lalu, berdepan risiko padi tidak menjadi.

Stephanie, ibu kepada tiga anak berusia 12 hingga 21 tahun yang mengusahakan sawah seluas kira-kira satu hektar itu berkata, mendapatkan air yang mencukupi untuk padinya itu adalah satu cabaran terutama pada musim kemarau ini.

“Saya berharap keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini tidak berpanjangan, sekali gus tidak merugikan petani seperti saya,” katanya.

Seorang lagi petani, Rohaya Sabri, 28, berkata, kemarau itu boleh menyebabkan tanah sawah merekah dan rosak.

“Jika rosak, ia lagi susah untuk ditanam semula. Bagaimanapun, masalah kami di kawasan ini sebenarnya bukan hanya ketika kemarau saja, malah pada hari biasa pun (termasuk jika hujan).

“Kawasan sawah kami ini susah untuk menanam padi kerana air lambat keluar (dari kawasan sawah), sekali gus memberi kesan keadaan di kawasan sawah kami seluas kira-kira 0.4 hektar itu,” katanya.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud Salmah Labulla berkata, jika cuaca panas berterusan sehingga April ini, pihaknya menasihatkan pesawah untuk menangguh jadual penanaman padi di kawasan terbabit sehingga cuaca kembali seperti biasa.

“Cuaca panas sekarang memang menjejaskan pesawah termasuk air sungai surut kerana tiada hujan.

“Oleh sebab itu, kita ambil beberapa langkah termasuk nasihatkan mereka tangguh jadual penanaman sehingga cuaca kembali seperti biasa.

“Ini termasuk melakukan pengairan ke sawah padi menggunakan pam bergerak terutama di kawasan yang telah memulakan penanaman baharu,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya dalam keadaan cuaca seperti jni, pihaknya akan menasihatkan pesawah untuk melakukan kerja pembersihan dan pembaikan sawah sebagai persediaan sekiranya cuaca kembali seperti biasa.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 3:42pm
d