mutakhir

Ayu Awatif ingin terbang ke Rom

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“SAYA sangat berharap dapat ke sana (Rom) untuk mengharumkan nama negara, tetapi ibu bapa saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu,” kata Ayu Awatif Alias, 16, pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu.

Ayu Awatif terpilih mewakili negara dalam pertandingan International Philosophy Olympiad di Rom, Itali Mei ini.

Bagaimanapun, anak pengawal keselamatan dari Karangan, Kulim itu bimbang hasratnya ke pertandingan itu terbantut sekiranya gagal menyediakan wang untuk membeli tiket kapal terbang, yuran penyertaan dan perbelanjaan makan minum yang dianggarkan bernilai RM6,000.

“Jika dapat terbang ke sana, saya yakin ia akan membuka mata lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang falsafah yang sebenarnya mampu membentuk peribadi untuk berfikiran kritis dan matang dalam tindakan harian,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dalam bidang berkenaan.

Ayu berkata, pada mulanya dia dimaklumkan eseinya terpilih antara 10 yang terbaik untuk menyertai Kem Malaysian Philosophy Olympiad di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 9 hingga 14 Disember tahun lalu.

“Ketika di kem terbabit saya dikehendaki menduduki peperiksaan penulisan esei selama empat jam untuk menguji pemahaman saya dalam bidang falsafah.

“Pada 10 Februari lalu, saya dijemput menghadiri temu duga (saringan kedua) oleh Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM) di Komtar, Pulau Pinang untuk memilih dua pelajar terbaik bagi mewakili Malaysia.

“Alhamdulillah, sehari selepas itu saya diberitahu terpilih untuk ke Rom, Itali,” katanya.

Sebagai persediaan, anak tunggal kepada pasangan Alias Yaacob,57 dan Asma Hamid, 55 ini menjalani latihan padat selama dua minggu di sekolah dengan bimbingan guru, Ariffin Salleh.

Bagi orang ramai yang ingin membantu Ayu Awatif, boleh menghubungi nombor telefon sekolah berkenaan di nombor 04-9222701 atau menerusi telefon bimbit Cikgu Ariffin 019-9336552 atau melalui nombor akaun Bank Islam di atas nama Tetuan Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) SBPI Kubang Pasu (02093010000802).

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 5:11pm
d