mutakhir

Warga emas parah diserang babi hutan

Oleh Roselan Ab Malek

SEORANG peneroka terpaksa menjalani pembedahan selama tujuh jam untuk menyambung urat lengannya yang terputus selepas diserang babi hutan di FELDA Jengka Satu dekat Maran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Roseminah Safar, 70, parah di tangan serta kaki dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

Roseminah berkata, sebelum kejadian dia berada di rumah jiran dan terdengar bunyi bising sekumpulan babi hutan di belakang rumahnya menyebabkannya bimbang keselamatan tiga cucunya yang bermain di halaman rumah.

Katanya, dia kemudiannya menghalau kumpulan babi membabitkan sepasang babi hutan jantan dan betina serta enam ekor anak sedang mencari makanan.

“Saya menyergah kumpulan babi itu menyebabkan babi jantan yang bertaring terkejut dan menyerang... saya cuba melarikan tetapi terjatuh.

“Babi hutan itu terus menyerang, menyondol dan menggigit tangan dan kaki saya menyebabkan luka serta banyak darah keluar.

“Nasib baik suami saya (Abdul Rahman Dolaji) menyedari kejadian itu dan menghalaunya menggunakan kayu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, anaknya, Norkintan Abdul Rahman, 40, berkata, serangan babi itu menyebabkan urat tangan ibunya terputus dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Doktor terpaksa melakukan lebih 30 jahitan luka di bahagian lengan dan kaki ibu yang kini dalam keadaan stabil.

“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertindak segera untuk memantau serangan dan pencerobohan babi hutan bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 6:04pm
d