mutakhir

Ikan 850 gram bernilai RM50,000

Oleh Hassan Omar

KETIKA menarik ikan daun baru naik ke pantai, Hafiz Roslan, 54, tidak menyangka ia akan membolehkan dia membawa pulang RM50,000 kerana ikan itu tidak sampai satu kilogram (kg).

Ini kerana ikan yang menjuarai pertandingan memancing lazimnya mempunyai berat lebih satu kg berbanding ikan dinaikkannya hanya seberat 815 gram sahaja.

Tetapi, rezeki ditentukan Allah SWT untuknya tidak mampu disangkal sesiapa pun dan dia akhirnya diumumkan sebagai juara Cabaran Pantai Puteri di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka, semalam.

“Semasa menarik ikan itu selepas ia menyambar umpun-umpun (cacing pasir), saya tidak menaruh keyakinan akan menang kerana ikan itu terasa ringan berbanding ikan lain yang menjuarai pertandingan memancing sebelum ini.

“Bagaimanapun, kalau sudah rezeki kita, tiada siapa yang boleh menafikannya dan saya akan gunakan wang ini untuk keluarga dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Juhari Osman. Hadir sama, Pengarah Urusan Wak Jali Event Management, Razali Kasran.

Hafiz yang melakukan pelbagai kerja kampung di Rawang, Negeri Sembilan berjaya menewaskan 1,500 peserta lain selepas menaikkan ikan itu pada 9.42 pagi.

Menurutnya, ketika membeli umpan itu pada harga RM10 petang kelmarin, dia tidak membayangkan akan menjuarai pertandingan itu tetapi tetap menaruh harapan agar kali ini dia bernasib baik berbanding puluhan pertandingan memancing lain pernah disertainya sebelum ini.

“Seperti peserta lain, saya berdoa supaya Allah SWT memilih saya untuk memenangi pertandingan kali ini, tetapi tidak terlalu yakin akan beroleh kejayaan.

“Alhamdulillah, permintaan saya itu diperkenankan Allah SWT dan saya belum merancang untuk menggunakan wang hadiah ini.” kata bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun itu.

Tempat kedua dimenangi Abdul Razak Amin, 38, yang membawa pulang RM10,000 selepas menaikkan ikan sama seberat 750 gram manakala tempat ketiga dimenangi Azman Hassan, 64, yang mendapat RM5,000 selepas menaikkan ikan daun baru seberat 735 gram.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 12:39am
d