mutakhir

Pelancong cedera diragut lelaki bermotosikal

Oleh Norizuan Shamsuddin

PELANCONG wanita warga China cedera selepas beg tangannya diragut lelaki bermotosikal di Jalan Ampang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan bersama seorang rakannya di depan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), jam 3 petang.

“Tiba-tiba mangsa didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dan suspek terus meragut beg tangan wanita terbabit sebelum memecut kenderaan.

“Kejadian menyebabkan wanita terbabit cedera di kepala dan muka sebelah kiri dan dihantar oleh ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, susulan kejadian rakan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 4.15 petang.

“Berdasarkan laporan, antara barangan yang ada dalam beg tangan mangsa adalah pasport, dompet, wang tunai China Yuen 400 (RM243), kunci rumah dan pakaian.

“Berdasarkan keterangan, suspek didapati menaiki motosikal Yamaha berwarna Hitam tetapi nombor pendaftaran tidak dapat dikenalpasti oleh mangsa dan rakannya.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut dilakukan dengan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian untuk mengesan dan mengenalpasti suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika melakukan samun atau ragut,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 9:00am
d