mutakhir

Daun ketum bernilai RM8,000 dirampas

Oleh Noorazura Abdul Rahman

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan empat lelaki serta merampas 86 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM8,000 yang cuba diseludup ke negara jiran semalam.

Penahanan tiga lelaki tempatan serta seorang warga Thailand itu turut menemui wang tunai RM5,040.30 dan Baht 147,000 (RM18,914.82) dipercayai hasil urusan jual beli daun ketum.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum serta wang tunai itu dirampas oleh pasukan ronda lima Rejimen Sempadan (5RS) di Pos Batu Persempadanan 34 (BP 34) dekat Durian Burung, Padang Terap, 1.20 tengah hari.

Katanya, suspek yang berusia antara 17 hingga 35 tahun tahun itu diberkas hasil sekatan jalan pasukan berkenaan diketuai Leftenan Muda Tengku Ikramudin Tengku Zulkeplee.

“Ketika sekatan, kami menahan tiga motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki seorang warga Thailand.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan terbabit menemukan daun ketum siap diikat dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran.

“Sementara, wang tunai ringgit dan baht pula ditemui pada ketiga-tiga lelaki tempatan yang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, hasil soal siasat mereka mengaku baru saja melakukan urusan jual beli daun ketum dengan pemandu Toyota Hilux.

Katanya, setiap kilogram daun ketum kini dijual dengan harga RM95 sekilogram berbanding RM90 tahun lalu.

Menurutnya, kesemua mereka termasuk wang tunai dan kenderaan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

“Ini adalah kes kedua tahun ini membabitkan penahanan penyeludup daun ketum di kawasan berkenaan yang mana tahun lalu pasukan ATM menggagalkan 11 cubaan menyeludup bahan terlarang itu ke negara jiran.

“Harganya meningkat mungkin berikutan risiko yang perlu mereka tanggung selain permintaan daun itu sangat tinggi di Thailand,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 10:34am
d