mutakhir

Perbicaraan kes Shahidan 18, 19 Mac

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MAHKAMAH Sesyen Kangar hari ini menetapkan dua hari bermula 18 Mac ini sebagai tarikh perbicaraan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan, tahun lalu.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Shahidan, 68, yang juga Ahli Parlimen Arau hadir pada prosiding itu 8.45 pagi dengan ditemani isteri, Datin Seri Shamsiah Mohd Yassin dan anaknya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahidan didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu remaja berusia 15 tahun dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, 11.30 malam, 20 Oktober lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz sementara tertuduh diwakili barisan peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff, Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan terbabit.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 10:45am
d