mutakhir

100,610 rakyat diisytihar muflis, 60 peratus belia [METROTV]

Oleh Mohamad Hussin dan Nabil Basaruddin

KADAR kecelikan kewangan rendah antara faktor menyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan dalam kalangan belia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sejak 2013 hingga 2017, seramai 100,610 rakyat diisytiharkan muflis dan 60 peratus daripada mereka berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Bukan saja golongan belia yang menghadapi cabaran kewangan yang serius, malah bakal pesara juga perlu mengambil berat mengenai rancangan perbelanjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia di Kampus Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di Bangi, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pengarah Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias; Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial UM, Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor.

Berikutan itu, Guan Eng berkata, kerajaan melancarkan buku panduan Belanjawanku bagi memudahkan orang ramai memahami corak perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang mungkin kompleks.

Katanya, panduan ini mampu meningkatkan tahap kecelikan kewangan dan kemahiran pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan rakyat negara ini.

“Belanjawanku boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta permarkahan kredit peribadi dengan mendalam.

“Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Buku panduan Belanjawanku diterbitkan KWSP dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) UM.

Guan Eng berkata, KWSP percaya setiap rakyat memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 apabila mencapai usia 55 tahun supaya mereka boleh bersara dengan selesa.

“Berdasarkan laporan KWSP 2017, pencarum aktif berusia 54 tahun secara purata hanya mempunyai sejumlah RM214,000 sahaja dalam akaun mereka.

“Lebih merunsingkan apabila dua pertiga daripada pencarum berusia 54 tahun hanya memiliki RM50,000 dan ke bawah dalam akaun KWSP mereka pada 2015.

“Bagi mengelak diri daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan yang lebih besar, kita perlu jelas mengenai keperluan perbelanjaan kita,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 11:23am
d