mutakhir

Ajal tercampak ke pokok

Oleh Norasikin Daineh

LELAKI maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dia tercampak

pada sebatang pokok dalam kemalangan di Jalan Bukit Timbalai, di Labuan, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa Mohd Suzly Hamidun, 29, maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian dalaman dan dada.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas dipercayai terbabas sendiri.

“Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal bersendirian dan dalam perjalanan dari arah Kampung Sungai Buton menuju ke Kampung Sungai Miri.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa melalui satu selekoh tajam dan motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Farid berkata, akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum masuk ke dalam parit.

“Mangsa tercampak sebelum terhentak pada sebatang pokok yang ada di tepi jalan.

“Pihak ambulans tiba di lokasi kejadian, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada,” katanya.

Katanya lagi, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Nukleus untuk dibedah siasat, manakala motosikal mangsa didapati rosak teruk di bahagian hadapan.

“Siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri namun kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 11:58am
d